Thursday, 16 June 2011

Sebenar-benar Superman

Pada pandangan anda, siapakah orang yang layak digelar superman? Adakah sesorang itu mempunyai kekuatan luar biasa, boleh terbang dan boleh mengeluarkan laser dari matanya? Adakah seperti Clark Kent yang menjadi hero idaman dunia dalam siri Smallville? Adakah seeorang yang boleh menghapuskan orang-orang jahat dengan kekuatan fizikalnya?

Kekuatan sering dikaitkan dengan kekuatan fizikal dan kemampuan untuk bertarung. Sebenarnya orang yang berbadan besar dan kuat ototnya belum tentu benar-benar kuat dan berani. Anda tahu akan hal itu. Sementara orang yang cepat meradang dan senang untuk bergaduh merupakan orang yang tidak pandai mengendalikan kemarahannya. Mereka ini tidak kuat menundukkan emosinya. Jadi, pada anda, adakah Superman atau Clark Kent atau super hero yang lain layak digelar Superman? 

Dalam riwayat dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Orang yang kuat bukanlah orang yang pandai bertempur, namun orang yang kuat adalah orang yang memiliki jiwanya ketika marah" (Hadis Riwayat Bukhari)

Orang yang mampu mengendalikan diri ketika marah adalah orang yang sabar. Orang yang paling berjaya menguasai jiwa dan emosinya merupakan orang yang memiliki kekuatan sangat tinggi. Mental mereka kuat dalam menghadapi berbagai keadaan sukar dan mencabar. Allah menyatakan bahawa orang-orang yang sabar adalah orang-orang yang kuat. 

"Hai nabi, khabarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti." (al-Anfaal : 65)

Ayat diatas menyifatkan bahawa sabar itu kekuatannya sepuluh kali ganda dari kekuatan mereka sendiri. Nah! Inilah kekuatan yang sebenar. Kekuatan yang selalunya orang pandang enteng dan sering salah faham. Kononya sabar ini sifatnya lemah dan tidak berdaya walhal kesabaran jauh lebih penting dan hebat dalam menjamin kemenangan dari kekuatan lainnya. Jika tidak, mengapa al-Quran sering saja menyaran agar kita bersabar. Ini kerana sabar itu sifatnya sangat hebat tetapi halus dan dapat menembusi benteng-benteng yang kukuh. Masakan batu yang keras boleh berlubang hanya dengan titikan air. 

Jika kita dapat menguasai jiwa kita ketika marah atau sedih, kitalah sekuat-kuat manusia. Sedangkan Clark Kent sendiri pernah menangis dan meradang hanya kerana tidak dapat mengawal jiwanya, hanya sekadar memuaskan nafsu amarah dan sedih dalam tempoh yang singkat dan mengakibatkan banyak kerosakan kawasan sekitarnya. Bukankah itu sudah merugikan? Jadi, jika kita dapat mengendalikan emosi kita, kita adalah sebenar-benar Superman. Tidak perlu pun memakai kostum yang memalukan itu. ^^,

1 comment: