Tuesday, 14 June 2011

Dalam Satu Perbuatan Sebenarnya Ada Dua Perbuatan

Kita seringkali berasa hampa dan sedih kerana apa yang kita usahakan tidak memberi pulangan yang baik malah boleh dikira gagal. Sedangkan kita tahu segala ketentuanNya memang tidak boleh diubah jika Dia berkehendak. Kita sedar akan hal itu namun kita tetap bersikap duka dan gundah apabila usaha yang kita lakukan tidak membuahkan sebarang hasil. Kita berasa usaha kita sia-sia dan kita terus berputus asa. Bagaimana caranya untuk mengubah sikap kita agar terus berusaha dan sedia menerima kegagalan? Islam mengajar kita agar berusaha walaupun usaha itu kelihatannya sia-sia. Di sini ada kisah yang boleh menjawab persoalan tersebut.

Maryam, iaitu ibu kepada Nabi Isa a.s, ketika beliau hampir melahirkan Nabi Isa a.s dan duduk sendirian di bawah pokok kurma yang sudah mati, Allah memerintahkan Maryam untuk menepuk batang pohon itu.

"Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yng masak kepadamu." (Maryam : 25)

Maryam melakukan apa yang telah diperintahkan dan buah kurma yang jatuh itu lalu dimakannya. Peristiwa itu merupakan satu mukjizat. Jika kita lihat dari segi logik akal, mana mungkin seorang wanita yang lemah lebih-lebih lagi sedang sarat hamil mampu menggoyangkan pangkal pokok kurma lalu buahnya jatuh. Sementara kaum lelaki yang kuat sekalipun mengambil buah kurma dengan memanjat dan memetiknya, bukan dengan menggoyangkan pangkal pokok tersebut. Dalam kisah Maryam ini, jelas sekali Allah akan memberi rezeki buah kurma kepadanya dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu. Allah sama sekali tidak memerlukan usaha Maryam sebagai satu jalan menjatuhkan buah kurma itu. Usaha Maryam seperti tiada kaitan dengan proses menjatuhkan buah kurma tersebut. Jika begitu, mengapa Allah tidak serta merta menjatuhkan buah kurma itu dari pokoknya? Mengapa Allah tetap memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pangkal pokoknya, walaupun perbuatan itu kelihatan sia-sia, sedang Allah sebenarnya tidak langsung pun memerlukan usaha Maryam untuk menjatuhkan buah kurma tersebut. Apakah hikmah dari perintah ini?

Kisah ini secara jelas memperlihatkan kita bahawa ada dua perbuatan yang sentiasa berjalan beriringan. Di mana  dua perbuatan ini sama sekali tidak boleh diabaikan  dalam segala hal yang berlaku disekitar kita.  Satu adalah perbuatan kita dan satu lagi adalah perbuatan Allah. Kita sering melupakan adanya perbuatan Allah disebalik hal-hal yang kita lakukan. "Kalau saya buat begini pasti jadi begini, kalau saya buat begitu pasti begitu" Itulah yang sering kita perkatakan. Kita sudah mengjangka kerana seperti itulah biasanya terjadi.  Lalu kita lupa peranan Allah disebalik semua itu, adakalanya berlaku penyimpangan hasil yang kelihatannya mustahil, kita bingung dan berputus asa. Padahal semua itu mungkin bagi Allah, tiada apa yang mustahil bagiNya. Kita harus sedar, kita hanya diperintahkan untuk berusaha dan hasil dari usaha itu sepenuhnya berada ditangan Allah. Allahlah yang menentukan bentuk hasil segala usaha kita itu.

Dan ada ketika kita menganggap sesuatu perkara yang sulit dan sukar, tentu sahaja kita menganggap Allahlah yang mampu melakukan perkara yang tidak mungkin. Kita percaya pada kekuasan Allah tetapi kita tidak mahu bekerja dan berusaha. Kita beranggapan usaha dan perbuatan dalam hal-hal sebegitu hanya sia-sia. Jadi buat apa kerja, baik pasrahkan sahaja urusannya pada Allah. Hasilnya kita menjadi pasif dan lemah. Dalam keadaan ini, sepatutnya kita harus berusaha sejauh mana yang kita mampu lakukan, walaupun perkara itu rasa-rasanya mustahil. Oleh itu, berusahalah kita dan bersandarlah pada bantuan Allah kerana segala sesuatunya adalah mungkin bagi Allah. ^^,

No comments:

Post a Comment