Monday, 13 June 2011

Ibu Jahat

Ibu jahat? Mungkin ada pihak yang terkejut apabila terbaca tajuk ini. Namun, sebelum anda memikirkan sesuatu yang buruk pada saya, ada baiknya anda teruskan membaca lagi. Pernahkan anda terdengar kisah seorang anak kecil yang memarahi ibunya hanya kerana tidak mahu memakan ubat. Rasanya, kita sendiri pernah mengalami situasi begitu pada ketika dulu bukan? Kita memarahi ibu kita apabila kita tidak mahu memakan ubat seperti yang disuruh, paling tidakpun, kita pasti merungut. "Ibu jahat!" begitulah pekik anak kecil tadi sambil menangis. Pada pendapat anda, adakah salah tindakan ibunya yang mahu anaknya memakan ubat agar anaknya kembali sihat ketika sakit? Apakah kejam seorang ibu itu? Begitulah pemikiran anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Mereka menyalahkan ibu mereka malah memarahi ibu mereka hanya kerana ibu mereka mahukan anaknya sihat. Ibunya hanya mahu berikan yang terbaik untuk anak kecil tersebut. Siapalah anak kecil itu untuk memahami apakah yang ibunya mahukan. Ilmu dan pemikirannya masih belum mampu untuk memahami hakikat dari tindakan si ibu sehingga kebaikan disangka keburukan. Kelak, jika si anak kecil itu dewasa, pasti dia akan memahami apakah hakikat sebenar tindakan ibunya. Dia akan menerimanya malah berterima kasih pada ibunya. Walaupun meronta menangis kesakitan, namun tetap akan disuntik untuk kebaikannya. Semua kesakitan dan penderitaanya adalah untuk kebaikannya. Kebaikan yang belum difahami pada ketika itu.

Ia samalah seperti apabila kita diduga Tuhan dengan kesakitan dan kesedihan. Ia adalah semata-mata untuk kebaikan kita. Siapalah kita untuk memahami apakah yang Allah rencanakan. Ilmu dan pemikiran kita tidak akan mampu untuk memahami hakikat dari tindakan Maha Perancang sehingga kebaikan disangka keburukan. Kelak, pasti kita akan memahami apakah hakikat sebenar yang Allah tentukan pada kita. Kebaikan kadangkala terasa menyakitkan. Perhatikanlah keadaan kita seharian, adakah kita sering membantah, merungut, merengek dengan masalah yang datang? Hanya kerana kita tidak tahu kebaikan disebalik kesakitan. Tidakkah kita akan dilihat seperti anak kecil?

No comments:

Post a Comment