Sunday, 19 June 2011

Berani Gagal

Kita sering saja takut untuk menyasarkan sesuatu dengan tinggi. Maksudnya? Kita tidak berani untuk mengharapkan sesuatu terlalu tinggi kerana takut akan kecewa apabila gagal. "Jangan terbang terlalu tinggi, jika jatuh pasti sakit." Prinsip ini memberi pengajaran atau amaran kepada kita agar tidak membuat sasaran yang terlalu tinggi dalam apa jua usaha yang kita lakukan. Agar kita tidak terlalu kecewa dan sedih apabila gagal, kita pasti akan berpegang pada prinsip ini. Namun, bukahkan prinsip ini membatasi usaha kita? Sedang kita boleh hasilkan sesuatu lebih dari itu. Prinsip ini secara halusnya mengajar kita menjadi pasif dan lemah malah menambahkan perasaan takut kepada kegagalan. Apa kita sedar akan hal ini? Memang benar sasaran kita akan mudah tercapai kerana sasaran kita tidak tinggi dan tentulah usaha kita juga sekadar memadai. Namun, apakah kita akan benar-benar berpuas hati dengan kejayaan kita itu, sedang sebenarnya kita mampu lakukan lebih baik. Hanya kerana takut kepada gagal, kita rela melemahkan diri kita. Kita sebenarnya kalah pada diri sendiri apatah lagi pada orang lain.

Gagal itu mungkin. Siapa kita untuk menidakkan kegagalan yang Tuhan berikan pada kita? Bukankah Tuhan lebih mengetahui apa yang dirancangkan untuk kita? Sesungguhnya apa yang diberi olehNya adalah baik. 

"Bukankah Allah adalah hakim yang sebaik-baiknya (paling adil)" (at-Tiin : 8)

Gagal adalah pengalaman, bukankah pengalaman adalah sebaik-baik guru? Gagallah yang mengajar kita untuk menjadi lebih sempurna, mengajar kita untuk perbaiki mana yang silap, menyedarkan kita bahawa kita masih lemah dan perlukan usaha yang lebih. Jadi, jika kita takutkan gagal, pasti kita tidak akan maju kerana kita lalai dengan kejayaan kecil kita. Kita bersorak kegembiraan sedangkan kita jauh ketinggalan. 

Jadi, kita perlu berani gagal? Gagal itu hanyalah sekadar risiko. Sama ada kita merelakan diri kita dengan kesanggupan untuk bersedia menerima kegagalan atau tidak. Dalam apa jua kerja yang kita usahakan sekalipun, sebenarnya persiapan mental adalah yang terpenting. Boleh jadi 90% sebenarnya adalah persiapan mental kita dan 10% lagi adalah persiapan fizikal. Jika kuat mental kita, kuatlah usaha kita, kita pasti tidak akan berhenti berusaha walaupun telah gagal. Hal ini kerana mental kita sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan terjadi pada hasil usaha kita.

Inilah yang dikatakan sabar. Sabar merupakan sesuatu yang menidakkan perasaan hati. Selalunya kita sering gagal adalah kerana terlalu turutkan perasaan, kita tidak rasa gembira semasa berusaha lalu kita berhenti. Kita sering pilih jalan mudah, jalan yang menyenangkan hati pada hakikatnya ia tidak memberi kesan. Semata-mata untuk menghindari masalah dan kegagalan. Jika kita bersabar, pasti kita tidak akan berhenti dan sanggup menanggung risiko untuk gagal. Bagi orang yang sabar, gagal bukanlah gagal semata-mata, masih ada sesuatu yang bermanfaat dalam gagal tersebut bagi mereka. Ia sebenarnya bergantung pada kita bagaimana kita jadikan sesuatu kegagalan itu sebagai sesuatu yang bermanfaat. Jika tidak, masakan ada pepatah yang mengatakan sebaik-baik guru adalah pengalaman? ^^,

Thursday, 16 June 2011

Saya Lulus

Pagi tadi setelah bangun dari tidur, saya terus buka e-mail untuk melihat keputusan bagi semester 4. Agak gemuruh, ada bercampur perasaan takut sedikit sebab ada dua subjek yang saya hanya sasarkan sekadar lulus semata-mata. Haha! Teruk bukan? Semester lepas saya benar-benar tidak serius pada dua subjek ini. Awal-awal lagi sudah mengaku kalah sebelum bertempur. Itulah silapnya. Saya jadikan ia sebagai pedoman untuk baki dua semester lagi. Setelah Inbox e-mail dibuka, tahap adrenalin saya semakin hebat. Gemuruh dan takut. Takut juga jika dua subjek tersebut gagal.

Setelah keputusan tertera, saya terus lihat ruangan paling hujung. Apa yang tertulis adalah LU, LU, LU, LU, LU, LU, LU, LU, LU. Fuuuhh~... Alangkah leganya perasaan saya ketika itu. Semua subjek lulus. Haha! Alhamdulillah. Tiada yang gagal. Memang itu doa saya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Selepas lihat ruangan tersebut, saya terus lihat ruangan Gred. B, B, A, C, A, B+, A, A+, dan C. Itulah yang tertulis diruangan Gred. Maksudnya, kedua-dua subjek yang saya sasarkan hanya lulus benar-benar tercapai dan tepat, "hanya lulus". Haha! Hampir-hampir saja untuk gagal. Syukurlah.

Namun, saya kena pikul tanggungjawab yang agak berat untuk baki dua semester akan datang. Kenapa? Ia adalah kerana saya perlu dapatkan gpa 3.70 secara kasar untuk kedua-dua semester akan datang demi mengejar cgpa 3.50 apabila tamat kelak. Harapan nak dapatkan Anugerah Dekan memang tinggal harapanlah. Haha. Memang tidak akan dapat sebab dah dua sem tidak dapat 3.5 keatas. Jadi, yang hanya boleh kejar sekadar kelas pertama, tiga bintang. Haha! Senang untuk lanjutkan pelajaran ke master luar Malaysia. InsyaAllah, jika ada rezeki.

Jadi, masa untuk tidak serius tidak ada lagi. Kena pulun sehabis mungkin untuk baki dua semester akan datang. Tidak mustahil. Sebab saya pernah berusaha sehabis mungkin pada semester terakhir diploma dan dapat gpa 4.00.  Hal itu adalah kerana saya berkeinginan untuk kejar cgpa saya yang tidak tinggi sebab takut tidak layak untuk sambung ke degree. Jika ketika dulu saya mampu dapatkan gpa 4.00, tidak mustahil saya boleh mengulanginya semula. Memang tidak sama, diploma lain dan degree lain, bermakna cara pun kenalah berbeza cuma apa yang sama adalah usaha sehingga tahap penghabisan. Saya ingat lagi pada semester akhir diploma dulu, diri sendiri memang tidak termanja, makan entah ke mana, tidur entah ke mana, mandi entah ke mana. Sehingga roomate pun pernah cakap yang saya ini macam biskut, sekejap ada, sekejap ghaib. Haha! Penat, memang amat penat, tapi hasilnya, ya Allah, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya masa itu bila mendapat 4.00.

Sekarang, saya hendak berusaha sehabis mungkin, macam dulu atau mungkin lebih teruk dari dulu. Haha! Saya akan berusaha, hasilnya saya serahkan saja padaNya. Tinggi atau rendah, sikit atau banyak, saya berserah pada Tuhan dan saya redha apa yang diberiNya. Apa yang penting, saya sudah berusaha dan berdoa. Itu sudah memadai bagi saya, dan itulah sebenarnya apa yang wajar kita lakukan, bukan tugas kita tentukan hasilnya. Jika apa yang saya harapkan tidak tercapai, saya percaya mungkin ada rezeki saya pada tempat lain dan mungkin juga ada silap di mana-mana. Dari situ barulah kita tahu kelemahan kita agar dapat diperbaiki untuk menjadi lebih sempurna. Tidak begitu? ^^,

Sebenar-benar Superman

Pada pandangan anda, siapakah orang yang layak digelar superman? Adakah sesorang itu mempunyai kekuatan luar biasa, boleh terbang dan boleh mengeluarkan laser dari matanya? Adakah seperti Clark Kent yang menjadi hero idaman dunia dalam siri Smallville? Adakah seeorang yang boleh menghapuskan orang-orang jahat dengan kekuatan fizikalnya?

Kekuatan sering dikaitkan dengan kekuatan fizikal dan kemampuan untuk bertarung. Sebenarnya orang yang berbadan besar dan kuat ototnya belum tentu benar-benar kuat dan berani. Anda tahu akan hal itu. Sementara orang yang cepat meradang dan senang untuk bergaduh merupakan orang yang tidak pandai mengendalikan kemarahannya. Mereka ini tidak kuat menundukkan emosinya. Jadi, pada anda, adakah Superman atau Clark Kent atau super hero yang lain layak digelar Superman? 

Dalam riwayat dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Orang yang kuat bukanlah orang yang pandai bertempur, namun orang yang kuat adalah orang yang memiliki jiwanya ketika marah" (Hadis Riwayat Bukhari)

Orang yang mampu mengendalikan diri ketika marah adalah orang yang sabar. Orang yang paling berjaya menguasai jiwa dan emosinya merupakan orang yang memiliki kekuatan sangat tinggi. Mental mereka kuat dalam menghadapi berbagai keadaan sukar dan mencabar. Allah menyatakan bahawa orang-orang yang sabar adalah orang-orang yang kuat. 

"Hai nabi, khabarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti." (al-Anfaal : 65)

Ayat diatas menyifatkan bahawa sabar itu kekuatannya sepuluh kali ganda dari kekuatan mereka sendiri. Nah! Inilah kekuatan yang sebenar. Kekuatan yang selalunya orang pandang enteng dan sering salah faham. Kononya sabar ini sifatnya lemah dan tidak berdaya walhal kesabaran jauh lebih penting dan hebat dalam menjamin kemenangan dari kekuatan lainnya. Jika tidak, mengapa al-Quran sering saja menyaran agar kita bersabar. Ini kerana sabar itu sifatnya sangat hebat tetapi halus dan dapat menembusi benteng-benteng yang kukuh. Masakan batu yang keras boleh berlubang hanya dengan titikan air. 

Jika kita dapat menguasai jiwa kita ketika marah atau sedih, kitalah sekuat-kuat manusia. Sedangkan Clark Kent sendiri pernah menangis dan meradang hanya kerana tidak dapat mengawal jiwanya, hanya sekadar memuaskan nafsu amarah dan sedih dalam tempoh yang singkat dan mengakibatkan banyak kerosakan kawasan sekitarnya. Bukankah itu sudah merugikan? Jadi, jika kita dapat mengendalikan emosi kita, kita adalah sebenar-benar Superman. Tidak perlu pun memakai kostum yang memalukan itu. ^^,

Tuesday, 14 June 2011

Rasulullah Tersenyum

Memperlihatkan ketidaksabaran orang-orang Muslim membuat Rasulullah tersenyum. Sekiranya mereka tahu apa yang ada disebalik dugaan, tentu mereka mengharapkan dugaan atas diri mereka.

"Aku pernah duduk-duduk bersama Rasulullah SAW lalu baginda tersenyum. Kami bertanya, "Wahai Rasulullah, kenapa engkau tersenyum?" Baginda menjawab, "Kerana hairan terhadap keluh kesah seorang Mukmin kerana sakit yang dideritainya. Jika dia mengetahui apa yang ada di dalam sakit, maka dia kan lebih suka sakit hingga dia bertemu dengan Allah." (Hadis Riwayat Ibnu Abu Dunya)

Mudah-mudahan apa yang diperkatakan baginda tadi menjadikan kita redha apabila ditimpa sebarang musibah malah kita mensyukurinya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..." (al-Baqarah : 286)

Ayat al-Quran diatas membuktikan bahawa Allah sudah mengira ujian yang bagaimana layak untuk kita pikul. Sememangnya segala ujian yang diberiNya pada kita sangat sesuai dengan diri kita, cuma bergantung pada kita bagaimana cara kita  menerima dan menyelesaikan ujian tersebut. Oleh itu untuk apa kita berduka sedang kita memang mampu menanggung ujianNya bukan? Jika kita benar-benar mengimani ayat tersebut, pastilah kita tidak akan berduka. ^^,

Dalam Satu Perbuatan Sebenarnya Ada Dua Perbuatan

Kita seringkali berasa hampa dan sedih kerana apa yang kita usahakan tidak memberi pulangan yang baik malah boleh dikira gagal. Sedangkan kita tahu segala ketentuanNya memang tidak boleh diubah jika Dia berkehendak. Kita sedar akan hal itu namun kita tetap bersikap duka dan gundah apabila usaha yang kita lakukan tidak membuahkan sebarang hasil. Kita berasa usaha kita sia-sia dan kita terus berputus asa. Bagaimana caranya untuk mengubah sikap kita agar terus berusaha dan sedia menerima kegagalan? Islam mengajar kita agar berusaha walaupun usaha itu kelihatannya sia-sia. Di sini ada kisah yang boleh menjawab persoalan tersebut.

Maryam, iaitu ibu kepada Nabi Isa a.s, ketika beliau hampir melahirkan Nabi Isa a.s dan duduk sendirian di bawah pokok kurma yang sudah mati, Allah memerintahkan Maryam untuk menepuk batang pohon itu.

"Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yng masak kepadamu." (Maryam : 25)

Maryam melakukan apa yang telah diperintahkan dan buah kurma yang jatuh itu lalu dimakannya. Peristiwa itu merupakan satu mukjizat. Jika kita lihat dari segi logik akal, mana mungkin seorang wanita yang lemah lebih-lebih lagi sedang sarat hamil mampu menggoyangkan pangkal pokok kurma lalu buahnya jatuh. Sementara kaum lelaki yang kuat sekalipun mengambil buah kurma dengan memanjat dan memetiknya, bukan dengan menggoyangkan pangkal pokok tersebut. Dalam kisah Maryam ini, jelas sekali Allah akan memberi rezeki buah kurma kepadanya dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu. Allah sama sekali tidak memerlukan usaha Maryam sebagai satu jalan menjatuhkan buah kurma itu. Usaha Maryam seperti tiada kaitan dengan proses menjatuhkan buah kurma tersebut. Jika begitu, mengapa Allah tidak serta merta menjatuhkan buah kurma itu dari pokoknya? Mengapa Allah tetap memerintahkan Maryam untuk menggoyangkan pangkal pokoknya, walaupun perbuatan itu kelihatan sia-sia, sedang Allah sebenarnya tidak langsung pun memerlukan usaha Maryam untuk menjatuhkan buah kurma tersebut. Apakah hikmah dari perintah ini?

Kisah ini secara jelas memperlihatkan kita bahawa ada dua perbuatan yang sentiasa berjalan beriringan. Di mana  dua perbuatan ini sama sekali tidak boleh diabaikan  dalam segala hal yang berlaku disekitar kita.  Satu adalah perbuatan kita dan satu lagi adalah perbuatan Allah. Kita sering melupakan adanya perbuatan Allah disebalik hal-hal yang kita lakukan. "Kalau saya buat begini pasti jadi begini, kalau saya buat begitu pasti begitu" Itulah yang sering kita perkatakan. Kita sudah mengjangka kerana seperti itulah biasanya terjadi.  Lalu kita lupa peranan Allah disebalik semua itu, adakalanya berlaku penyimpangan hasil yang kelihatannya mustahil, kita bingung dan berputus asa. Padahal semua itu mungkin bagi Allah, tiada apa yang mustahil bagiNya. Kita harus sedar, kita hanya diperintahkan untuk berusaha dan hasil dari usaha itu sepenuhnya berada ditangan Allah. Allahlah yang menentukan bentuk hasil segala usaha kita itu.

Dan ada ketika kita menganggap sesuatu perkara yang sulit dan sukar, tentu sahaja kita menganggap Allahlah yang mampu melakukan perkara yang tidak mungkin. Kita percaya pada kekuasan Allah tetapi kita tidak mahu bekerja dan berusaha. Kita beranggapan usaha dan perbuatan dalam hal-hal sebegitu hanya sia-sia. Jadi buat apa kerja, baik pasrahkan sahaja urusannya pada Allah. Hasilnya kita menjadi pasif dan lemah. Dalam keadaan ini, sepatutnya kita harus berusaha sejauh mana yang kita mampu lakukan, walaupun perkara itu rasa-rasanya mustahil. Oleh itu, berusahalah kita dan bersandarlah pada bantuan Allah kerana segala sesuatunya adalah mungkin bagi Allah. ^^,

Monday, 13 June 2011

Kerjalah Walaupun Kelihatan Sia-Sia!

Islam mengajar setiap umatnya untuk bekerja keras disertai dengan keinginan yang tinggi. Tiada satu pun ayat dalam al-Quran menyarankan umat manusia agar menjadi pasif dan malas. Malah Allah dan rasulNya memerintahkan kita dalam berbagai kesempatan untuk berusaha untuk beramal dan berusaha. Dan tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang mengatakan segala usaha kita adalah sia-sia dan tidak bernilai. Sama sekali tidak!

"Dan masing-masing mereka memperoleh darjah-darjah dengan apa yang mereka kerjakan. Dan Tuhanmu tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan". (al-An'am : 132)

"Dan katakanlah, "Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasulNya serta orang-orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah : 105)

"Dan sesungguhnya kepada masing-masing pasti Tuhanmu akan menyempurnakan dengan cukup pekerjaan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan." (Huud : 111)

Amat jelas, Allah memerintahkan kita agar terus berusaha kerana telah dijanjikanNya apa yang kita kerjakan tidak akan sia-sia. Ia pasti dicongak olehNya di akhirat kelak. Oleh itu apa yang perlu kita risaukan? Allah tidak menggalakan kita sekadar pasrah dengan ketentuan takdir, namun kita perlu berusaha, berikhtiar kemudian disusuli tawakal walaupun usaha itu kelihatan sia-sia.

"Pastinya hari kiamat akan terjadi, sementara di tangan salah seorang diantara kamu masih ada bibit pohon kurma, seandainya dia mampu menanamnya sebelum kiamat terjadi, maka hendaklah dia melakukannya." (Hadis Riwayat Ahmad dan Bukhari dari Anas r.a)

Betapa Islam itu sangat mementingkan umatnya berusaha tanpa putus asa walaupun tiada lagi hari esok. Tiada apa yang perlu kita ragukan kerana setiap pekerjaan yang kita kerjakan pasti tidak akan sia-sia sepertimana yang telah dijanjikanNya pada kita. Sekecil manapun pekerjaan itu pasti akan dihitung di akhirat kelak.

Bekerja juga salah satu tanda syukur padaNya.

"Bekerjalah wahai keluarga Daud sebagai tanda syukur!" (Saba' : 13)

Maka apabila kita tidak berusaha, kita tergolong dalam golongan orang yang tidak bersyukur atau kufur nikmat. Ya Allah, periharalah kami dari menjadi orang-orang yang rugi. Oleh itu, marilah kita berusaha sehabis mungkin untuk mendapat keredhaanNya.  Berusahalah! ^^,


Ibu Jahat

Ibu jahat? Mungkin ada pihak yang terkejut apabila terbaca tajuk ini. Namun, sebelum anda memikirkan sesuatu yang buruk pada saya, ada baiknya anda teruskan membaca lagi. Pernahkan anda terdengar kisah seorang anak kecil yang memarahi ibunya hanya kerana tidak mahu memakan ubat. Rasanya, kita sendiri pernah mengalami situasi begitu pada ketika dulu bukan? Kita memarahi ibu kita apabila kita tidak mahu memakan ubat seperti yang disuruh, paling tidakpun, kita pasti merungut. "Ibu jahat!" begitulah pekik anak kecil tadi sambil menangis. Pada pendapat anda, adakah salah tindakan ibunya yang mahu anaknya memakan ubat agar anaknya kembali sihat ketika sakit? Apakah kejam seorang ibu itu? Begitulah pemikiran anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Mereka menyalahkan ibu mereka malah memarahi ibu mereka hanya kerana ibu mereka mahukan anaknya sihat. Ibunya hanya mahu berikan yang terbaik untuk anak kecil tersebut. Siapalah anak kecil itu untuk memahami apakah yang ibunya mahukan. Ilmu dan pemikirannya masih belum mampu untuk memahami hakikat dari tindakan si ibu sehingga kebaikan disangka keburukan. Kelak, jika si anak kecil itu dewasa, pasti dia akan memahami apakah hakikat sebenar tindakan ibunya. Dia akan menerimanya malah berterima kasih pada ibunya. Walaupun meronta menangis kesakitan, namun tetap akan disuntik untuk kebaikannya. Semua kesakitan dan penderitaanya adalah untuk kebaikannya. Kebaikan yang belum difahami pada ketika itu.

Ia samalah seperti apabila kita diduga Tuhan dengan kesakitan dan kesedihan. Ia adalah semata-mata untuk kebaikan kita. Siapalah kita untuk memahami apakah yang Allah rencanakan. Ilmu dan pemikiran kita tidak akan mampu untuk memahami hakikat dari tindakan Maha Perancang sehingga kebaikan disangka keburukan. Kelak, pasti kita akan memahami apakah hakikat sebenar yang Allah tentukan pada kita. Kebaikan kadangkala terasa menyakitkan. Perhatikanlah keadaan kita seharian, adakah kita sering membantah, merungut, merengek dengan masalah yang datang? Hanya kerana kita tidak tahu kebaikan disebalik kesakitan. Tidakkah kita akan dilihat seperti anak kecil?

Dugaan Kelakar

Sebenarnya, pada jumaat lepas, ada suatu perkara yang berlaku pada saya. Saya praktikal di IPK Selangor (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) dan orang awam macam saya perlu menyerahkan IC untuk mendapatkan pas kebenaran untuk masuk ke dalam bangunan IPK tersebut. Setelah hampir sebulan saya menjalani latihan praktikal di sini, hari jumaat lepas berlaku insiden yang tidak berapa enak untuk didengar, saya memulangkan pas kebenaran tersebut sebab dah nak balik, apakan daya, IC saya hilang. Polis yang bertugas di Pos tersebut agak gelabah dan menyalahkan polis yang bertugas pada paginya, konon kesilapan polis tersebut memulangkan IC pada orang yang salah. Memang benar, IC saya telah diambil orang lain dan yang tinggal IC orang tersebut. IC tersebut merupakan hak milik seorang lelaki berbangsa cina bernama Tan Boon Yue dan alamatnya di Batang Berjuntai. Dalam kotak fikiran saya, celah mana Batang Berjuntai? Haha. Saya gelak kecil. Semua ni berlaku atas kecuaian pihak polis tersebut dan juga orang yang menerima IC. Masing-masing cuai. Dan mangsanya saya. Heh. Status saya secara automatik bertukar kepada pendatang haram sejak hari itu hingga sekarang, Isnin 13hb. Haha.

Saya hairan kenapa boleh berlaku begitu, saya tidak mahu berburuk sangka, jadi saya menganggap barangkali mereka tidak perasan bahawa IC itu bukan betul milik tuannya. Tidak mustahil juga polis itu hanya sekali imbas memandang IC saya dan terus beri pada orang cina tersebut. Maksudnya? Ya... mungkin juga muka saya agak menyerupai orang cina, putih dan bermata sepet. Haha. Ramai juga sebelum ini, orang tanya saya sama ada saya ada berdarah campuran atau tidak. Yang lebih menggelikan hati, ada yang cakap muka saya macam orang Korea. Haha. Geli pun ada, tapi saya menganggapnya sebagai satu pujian. Heh. Syukurlah, saya dikurniakan rupa paras yang elok. Senang hati saya bila mendengarnya. Kadang-kadang bila saya memandang cermin, saya senyum seorang diri dan berasa sangat bersyukur dengan anugerah yang Tuhan beri. Jadi, berbalik pada cerita IC tadi, saya menganggap, ia satu pujian secara tidak langsung dari polis tersebut. Mungkin dia melihat muka saya putih dan kelihatan serupa dengan orang cina dan... Korea. haha. Perasan. Tapi begitu lebih baik daripada saya marah-marah dan keluh kesah bukan? Maka eloklah saya gembira begini. Saya menganggap ia sebagai satu pujian dari Tuhan, bukan sebagai bala atau malapetaka. Bukankah ini lebih bermanfaat? Saya diuji olehNya, dan saya bersyukur dengan ujian sebegini. Haha. Sekurang-kurangnya saya berasa bersyukur, tidak begitu? ^^,

Sunday, 12 June 2011

Nikmat Adalah Ujian

Kesenangan juga merupakan satu ujian. Begitulah kenyataannya. Sudah jelas dinyatakan dalam al-Quran. Siapa yang tidak sukakan harta, anak, dan semua perkara yang membahagiakan? Namun, itu juga merupakan ujian sedang kita meyukainya.

"Dan ketahuilah, bahawa hartamu, anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar." (an-Anfaal : 28)

"Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik" (Ali-Imran : 14)

"Bermegah-megah telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur" (at-Takaatsur : 1-2)

Sememangnya kita ini selalunya sombong setelah mendapat kesenangan, dan seringkali mengingatiNya bilamana kita ditimpa kesusahan. Sangat tidak malu kita ini. Dan yang lebih teruk, kita bermegah dengan kejayaan yang kita kecapi dengan menyatakan semua itu kerana usaha kita sendiri, kepintaran kita sendiri, kehebatan kita sendiri. Memang kejayaan telah membutakan mata kita tanpa luar sedar. Ya Allah, lindungilah kami daripada menjadi hambaMu yang lalai dari perintahMu.

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya mereka menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikannya nikmat dari Kami dia berkata "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaran." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." (az-Zumar : 49)

Maka cara yang terbaik adalah bersyukur padaNya dengan hati, lisan dan perbuatan. Kita ini hanya hamba yang tidak punya apa-apa. Apa yang kita miliki sekarang adalah barang yang dipinjamkan dariNya. Oleh itu janganlah kita takbur. Bersyukurlah dengan nikmat yang diberi agar kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.

Mutiara Kata Dari Seorang Yang Bukan Muslim

Hidup memerlukan masalah. Mengapa? Masalah itu adalah sejenis ujian dari Allah. Dengan ujianlah manusia sedar akan apa yang harus diperbaiki agar menjadi lebih kuat, menjadi lebih sempurna dan yang penting sedar akan kelemahan sendiri. Ujian itu pasti datang. Mana mungkin kita bisa menolaknya sedang ia telah tertulis sepertimana yang dikehendakiNya. Bukan masalah itu yang perlu kita perlu risaukan kerana ia pasti terjadi jika Allah berkehendak. Namun, sikap kita untuk menghadapinya. Apakah tindakan susulan yang bakal kita lakukan. Itulah yang harus kita risaukan. Jangan mengharapkan sesuatu kehidupan yang tiada masalah kerana satu-satunya kehidupan tanpa masalah adalah kehidupan di syurgaNya. Sepertimana yang disebut oleh John F. Kennedy "Do not pray for easy lives, pray to be stronger." Bagaimana seorang yang bukan Islam boleh berkata begitu? Kata-katanya sahaja sudah membuktikan bahawa dia memang seorang yang tabah, sabar, dan kuat mengharungi masalah. Sedang kita ini golongan yang diredhaiNya dan berbekalkan sunnahNya, al-QuranNya, sunnah rasulNya dan juga hadis-hadis. Sepatutnya kita ini menjadi orang-orang yang hebat mengharungi ujianNya kerana kita dibekalkan panduan dan landasan yang telah digariskan. Oleh itu, perhebatkanlah diri kita dengan sifat sabar.

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu (wasta'inu bis shabri was shalah). Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (al-Baqarah : 45)

Saturday, 11 June 2011

SindiranNya

"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh-kesah lagi kedekut. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut."

(al-Ma'arij : 19-21)

Ayat suci di atas merupakan ayat sindiran Allah kepada kita, hambaNya. Aku berasa malu dengan sindiran tersebut, amat sesuai sekali dengan kita. Ayat yang indah tetapi berbentuk sindiran. Aku tersenyum bila membaca ayat ni. Senyum malu padaNya. Sindiran siapa lagi yang harus kita malukan jika bukan dengan sindiranNya? Sangat benar, kita ini bersifat keluh kesah bila ditimpa kesusahan dan amat kedekut apabila mendapat kesenangan. Bukankah sebaiknya bila kita ditimpa kesusahan kita wajar bersabar dan redha? Tapi aku sendiri baru-baru ini berasa sedih dan kecewa sedang ujian itu hanyalah ujian yang kecil. Malulah aku padaMu ya Allah. Aku berduka dengan ujianMu yang tidak seberapa jika nak dibandingkan dengan orang diluar sana. Seharusnya aku bersabar dan redha. Bukankah begitu? Ya Allah, ampuni dosaku, aku berasa malu padaMu.